Saturday, February 11, 2012

Renung sejenak....


myMetro | Bekas jutawan LBJ tak mampu bayar bil api, air

SEREMBAN: Tidak mampu membayar bil air dan elektrik yang mencecah lebih RM500 sebulan selain cukai tanah melebihi RM1,000 antara faktor segelintir penduduk Kampung Lyndon Ben Johnson (LBJ), Labu di sini, meninggalkan deretan banglo tiga tingkat di kampung itu yang kini menjadi kenangan kekayaan pernah dimiliki bekas peneroka terbabit.
Tinjauan mendapati hampir 10 rumah dibiarkan terbengkalai manakala 20 yang separuh siap terbiar dengan dengan semak samun.

Bekas Ketua Umno cawangan Labu Jaya, Norman Mohd Nor, 66, berkata, dia sedih melihat keadaan itu kerana 504 bekas peneroka kampung terbabit dikenalinya.
“Keadaan itu berlaku kerana kebanyakan mereka ‘rambang mata’ apabila mendapat bayaran antara RM1.3 hingga RM1.8 juta, bergantung kepada keluasan tanah.

“Lebih menyedihkan, ada antara penduduk kini bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menampung hidup dan ada yang bergelap dalam rumah mewah itu kerana tidak mampu membayar bil elektrik,” katanya.

Menurut Norman, ketika mendapat ‘durian runtuh’ pada 1997, penduduk Kampung LBJ bagaikan menerima limpahan emas berikutan pembinaan Litar F1 Sepang terletak hanya  lima kilometer dari situ dan pusat pentadbiran negara, Putrajaya kira-kira 32 kilometer menyebabkan tanah peneroka menjadi rebutan.
Katanya, faktor lokasi menyebabkan kawasan itu amat berdaya maju untuk projek komersial seperti industri atau perumahan.

“Kami menjual tanah tetapi akhirnya ada yang menjadi ‘jutawan fakir’ dalam masa beberapa tahun kerana boros membelanjakan wang pampasan, termasuk ada yang melabur dalam skim cepat kaya,” katanya.
Menurutnya, ketika menerima wang jualan tanah, suasana ketika itu meriah kerana banyak pameran kereta dan hartanah diadakan di Dewan Orang Ramai, tidak termasuk risalah yang dihantar dari rumah ke rumah,” katanya.



Lama sudah eden tak mendengar khabar tentang OKB (orang kaya baru) kampung LBJ ni. Yalah sejak eden bermastautin sementara kat Jepun ni memang langsung eden tak ambil kisah tentang mereka-mereka ni, apa lagi bertanya khabar. Hish...eden manalah ada kenalan kat sana...:-?

Alih-alih bila eden terbaca akan laporan berita dari harian metro petang ni, barulah fikiran eden mengimbau kembali  ke arah tanah Felda LB Johnson atau (LBJ). Biar eden cerita sikit akan sejarah bagaimana felda ini mendapat namanya. 

"FELDA L.B. Johnson ataupun Kampung L.B .Johnson merupakan sebuah pekan kecil di Negeri Sembilan, Malaysia. FELDA L.B. Johnson dinamakan bersempena bekas Presiden Amerika SyarikatLyndon B. Johnson, yang melawati kampung itu pada 1966. Ianya merupakan antara tempat yang dilawatinya dalam rombongan untuk mengeratkan hubungan dua hala antara Amerika Syarikat dan Malaysia pada masa itu." (map Felda L.B Johnson)




Seingat eden lah, semasa mula-mula keluar berita berkenaan penduduk kampung ni akan menerima durian runtuh, wah memang menjadi topik panas di kedai kopi, rumah orang kahwin, tepi kolam ikan, tepi jalan, pejabat dan dimana-mana saja tepilah, semua orang bercakap mengenainya. Pendek kata ada yang tak sabar hendak menjadi jutawan segera masa tu hingga ada juga sebahagiannya lupa pula jalan ke kebun sawit dan getah.  (hasil sawit dan getah adalah sumber pendapatan utama penduduk LBJ masa itu) Bukan saja setakat penduduk kampung tu yang teruja hendak menjadi 'millionair' malah sudah ada agensi-agensi swasta mula berkira-kira untuk menambah kantung bisnes masing-masing di sana.

Jadi pada hari pertama diadakan majlis penyerahan bayaran pertama di kampung tu, tu dia, dilihat ruang atau tanah kosong di sekitar kampung sudah penuh dimeriahkan khemah sementara oleh bank-bank tempatan, car dealer, kontraktor dan pelbagai lagi syarikat berkaitan. Mereka berkampung untuk sekian lama juga di Kampung LB Johnson ni. Segala tumpuan untuk bisnes semuanya terarah ke sana waktu tu.  Kalau ada sesiapa yang tak pernah lalu di sana memang akan merasa janggal apabila melihat banyaknya khemah-khemah dari wakil jualan syarikat masing-masing di dalam kampung yang agak pendalaman.

Biasa kita dengar akan perkataan 'kejutan budaya' kalau kita pergi ke luar negarakan? Begitu jugalah di Kampung LBJ ni turut menerima kejutan 'menjadi orang kaya'. Jadi perubahan pertama yang dilihat dan dilaporkan masa itu ialah boleh kata semua penduduk di sana berlumba-lumba mendirikan 'istana' indah mereka. Perlu atau tidak masa tu mungkin jadi perkara kedua. Landskap 'kampung' LBJ telah bertukar menjadi landskap perkampungan mewah yang dihiasi bangunan pelbagai bentuk dan warna. Cara kehidupan juga telah bertukar dan pernah eden lihat satu pasangan suami isteri memandu kereta mewah yang mana isterinya masih lagi memakai baju kelawar (baju tidur) walau dah pukul 11.00 pagi ketika itu. Ini adalah sebahagian panorama saja yang eden pernah nampak.

Kata-kata eden ini tidaklah maksudkan pada semua penduduk, tidak....ada juga OKB yang masih bersikap 'low profile'. Mereka-mereka ini tetap bersyukur dan memafaatkan sepenuhnya rezeki melimpah yang diberikan. Sebenarnya memang banyak eden dengar macam-macam gelagat, cerita, keluh kisah berkenaan penduduk LBJ ni dari meja kedai kopi, mulut ke mulut dari orang sekeliling. Ada cerita yang baik dan banyak pulak cerita tak baiknya yang mana eden sendiri tiada kepastian betul tidaknya. Tambahan pula ketika itu ada pesaingan dari kampung sebelah iaitu Felda Sendayan yang mana turut berkira-kira akan menjadi OKB juga, tapi telah gagal di pertengahan jalan dek masalah oleh pemaju. (semasa entry ini ditulis masalah di Felda Sendayan telah pun berjaya diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Sembilan dan sekarang dikenali sebagai Bandar Sri Sendayan)

Bila keluar laporan harian metro hari ini mungkin kita sendiri boleh mengiyakan memang perkara yang tak beberapa baik itu berlaku. Jutawan fakir memang wujud di Kampung L.B Johnson sekarang seperti mana yang dilaporkan oleh penulis. Sebenarnya tiada apa yang hendak dipelikan sekiranya berlaku hal-hal sebegini dalam dunia sekarang. Dimana-mana saja ia boleh terjadi pada kita, tidak perlu menunggu kita kaya atau miskin. Apa yang lebih utama dalam kontek ini ialah cara kita beringat-ingat dan berpijaklah di atas bumi yang nyata. Walau pun sudah sekian lama tidak mengikuti perkembangan orang-orang kaya ni, eden percaya masih ada lagi yang berjaya meneruskan momentum kehidupan bersederhana mereka. Pada yang gagal harus percaya juga dan terima bahawa ujian tuhan bukan hanya sekali tapi banyak kali, sebab itu kita jangan lupa agar mafaatkanlah sekiranya ada peluang baik yang diberi biar pun hanya sekali. Ganbare minna......

"Bila kita belajar sesuatu perkara, sebenarnya kita tertinggal banyak perkara andainya tidak beringat....."

No comments:

Post a Comment

Apakah Ini RINDU....

Aaaloooooo........Konnichiwa minna.... Masih lagi sey tidak lupa bait perkataan  tu walau telah sekian lama meninggalkan bumi di mana per...