Sudah lama eden tak ke udara dalam blog. Sejak beberapa hari kebelakangan ni eden agak sibuk sikit kat luar kerana membuat kerja amal. Hujung September dan awal bulan Oktober ni beberapa rakan baru dari Malaysia datang ke Kyoto yang terpilih melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Kyoto University. Ramai juga kali ni, so eden kenalah bantu mana-mana yang patut kerana mereka belum biasa lagi disini terutama dari segi khidmat nasihat, masuk rumah dan membeli barangan keperluan harian.
Oklah, sebenarnya eden nak kongsi sikit dalam ruang Kitchen Corner berkenaan menu nasi goreng. eden tahu kalau sebut saja nasi goreng ni memang sudah terlalu 'biasa' kat Malaysia kan?, tapi yang ni agak special sikit kerana eden beri namanya 'Nasi Goreng Kimchi Ulam Kesum'. Sedikit kelainan kali ini sebab eden campurkan kimchi semasa menggoreng. Lebih sedap lagi bila eden taburkan sedikit daun kesum yang dicincang halus bagi menambah aroma dan rasa nasi goreng ini. Kimchi sebenarnya mungkin tak asing di negara kita, cuma popularitinya masih di tahap rendah. Untuk pengetahuan semua kimchi adalah makanan popular orang Korea, di buat dari beberapa jenis campuran sayur, cili, cuka dan di perap untuk beberapa hari atau bulan. Kimchi juga enak dimakan bersama nasi putih sama seolah-olah kita makan nasi bersama tempoyak atau sambal gesek (salah satu menu kesukaan orang Negeri Sembilan), rasa masam-masam itulah yang menjadi pembuka selera. Kalau di lihat pada foto memang seolah-olah nampak biasa saja, tetapi yang membezakannya adalah RASA...eden suka dan semua anak-anak eden pun sama.
Nasi Goreng Kimchi Ulam Kesum |
Bahan-bahan
- Nasi putih sejuk yang dimasak daripada 3 pot beras (lebih kurang 400g)
- 4 sudu besar kimchi
- 10 ekor udang harimau - bersihkan dengan perahan lemon/limau nipis
- 2 ulas bawang putih - dicincang halus
- 2 sudu makan ikan bilis - ditumbuk halus
- 2 sudu besar cili kisar
- 3 tangkai daun kesum - cincang halus daunnya
- garam secukup rasa
- gula secukup rasa
- 3 sudu besar minyak masak untuk menumis
Cara membuat
- Panaskan minyak dalam kuali dengan api sederhana
- Tumiskan bawang putih. Setelah naik bau, masukkan ikan bilis yang ditumbuk dan cili kisar. Tumis sebentar
- Masukkan kimchi dan goreng sebentar (anggaran 30 saat). Campurkan udang harimau dan balik-balikkan sehingga warna udang bertukar kemerahan
- Campurkan nasi putih, gaul sebati, dan balikkan-balikkan sehingga kimchi tergaul sebati dengan nasi
- Tambah perasa (garam dan gula) ke dalam nasi goreng, setelah cukup rasa dan udang masak, padamkan api. Taburkan daun kesum yang telah dicincang halus ke dalam nasi goreng, dan balik-balikkan nasi supaya daun kesum dapat bergaul dengan nasi (Daun kesum ditambah setelah dipadamkan api)
- Hidang nasi goreng bersama telur goreng, timun dan tomato sekiranya suka
Kalau eden suka, eden pasti rakan-rakan pun akan setuju dengan eden. Sila-silakan mencuba. Jumpa lagi nanti dalam coretan yang lain.
No comments:
Post a Comment