Tuesday, July 24, 2012

My special soup

Salam Ramadhan.

Bulan-bulan puasa ni seronok kalau kita cerita pasal makanan,  untuk sey sup merupakan antara menu yang paling sey suka. Sebabnya bila sehari suntuk berpuasa, tekak pun kering jadi sudah tentulah makanan berkuah atau sup menjadi pilihan. Sup ini pun dah tentulah sesuai dimakan semasa musim sejuk kan?

Jadi semalam sey dan isteri buatlah sup sayur istimewa. Istimewanya kerana kami guna tauhu bulat kering yang disumbat ikan dan sayur cincang. Tauhu ini juga selalu digunakan dalam masakan mee kari. Macam inilah lebih kurang rupanya sup yang kami sediakan tu.



nampak tak tauhu kering disumbat ikan dan sayur?

Selain daripada itu sey masukkan/campakkan juga fishball, kobis panjang, sawi dan sedikit daun ketumbar. 20 minit, dah siap satu menu. Untuk sesiapa yang berminat sey perturunkan resepinya di bawah:-

Bahan-bahan (untuk 4 orang makan)
  1. 10 biji fishball (bebola ikan)
  2. 2 kelopak kobis panjang
  3. 5 kelopak sawi
  4. Sedikit daun ketumbar 
  5. 4 biji tauhu kering
  6. 100 g ikan tenggiri - dicincang halus dan digaul dengan sedikit garam dan lada hitam
  7. Sedikit lobak merah - dicincang halus
  8. Sedikit daun ketumbar - dicincang halus 
  9. Seulas bawang putih dicincang halus
  10. Sedikit garam
  11. 2 sudu besar minyak untuk menumis
  12. 3 cawan air
  13. Sedikit kiub ikan bilis
Cara membuat.
  1. Bersihkan sayur (kobis panjang, sawi dan daun ketumbar) dan potong mengikut suka. Asingkan sayur mengikut jenis.
  2. Bersihkan fishball dan tauhu kering, ketepikan.
  3. Belah tauhu kering tetapi jangan sampai putus. Keluarkan sebahagian isinya, dan dicampur dengan ikan yang telah dicincang tadi. Campurkan lobak merah dan daun ketumbar yang telah dicincang. Gaul rata.
  4. Sudukan sedikit adunan ikan dan masukkan ke dalam tauhu kering. Buat sehingga semua tauhu kering diisi dengan isi ikan. Ketepikan.
  5. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bawang putih hingga kekuningan, dan masukkan air. Biar menggelegak sedikit.
  6. Masukkan tauhu kering dan fishball. Biarkan 30 saat, kemudian masukkan sawi dan kobis panjang.
  7. Masukkan perisa ikan bilis dan garam secukup rasa. Akhir sekali masukkan daun ketumbar, biarkan sekejap dan tutup api.
Hah, selamat mencuba kalau teringin.

Jya mata....




Monday, July 23, 2012

Boleh bersugi di bulan puasa?

Salam kembali.

Baru sey tahu!

Selama ini sey tak tahu pulak di dalam kita sedang menunaikan ibadah puasa kita dibenarkan memasukkan air ke mulut (bukan menelan) dan bersugi sekali. Tetapi setelah sey membaca kolum yang ditulis oleh Dr. Asri berkaitan perkara ini barulah sey tahu.

Yalah, Islam itu sendiri amat menitik beratkan kebersihan luar dan dalam penganutnya walau pun kita sedang melakukan perbuatan baik seperti berpuasa ini. Kita sudah pun sedia maklum bahawa ketika kita berpuasa mulut kita  akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, walaupun bau mulut orang berpuasa adalah   wangi di sisi Allah, dan ianya secara tidak langsung akan memberi ketidak selesaan ketika kita berbual atau bersama dengan orang lain. 

Jadi, dengan ulasan yang diberikan oleh saudara Dr. Asri ini sekurang-kurangnya dapat memperbetulkan tanggapan orang tentang perbuatan bersugi atau menggosok gigi di siang hari di dalam bulan Ramadhan. Untuk pemahaman lanjut pembaca berkaitan bersugi semasa berpuasa, dibawah ini sey lampirkan petikan penulisan dari kolum Dr Asri berkenaan.


Berpuasa tapi bersugilah


Kebersihan adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam sepanjang masa. Ini khususnya apabila kita beribadah kepada Allah.  Juga apabila kita bertemu manusia lain. Islam memerintahkan kita menjaga hubungan baik dengan Allah, demikian juga kita menjaga hubungan baik sesama manusia. Kebersihan, wangian dan penampilan yang baik sesuatu yang menunjukkan penghormatan dan penghargaan kita kepada pihak yang ingin kita bertemu dengannya. Ini adalah tabiat manusia. Justeru itu, semasa soat kita diwajibkan menjaga kebersihan dan menutup aurat, juga disunatkan berwangian. Demikian ketika berjumpa dengan manusia. Pakaian yang sesuai dan memakai wangian adalah sunnah dalam bermasyarakat. Mereka yang mempunyai bau busuk dilarang datang ke tempat perhimpunan awam khususnya solat berjemaah. Sebab itu tidak dibenarkan sesiapa yang memakan bawang putih ataupun makanan yang lain yang mengeluarkan bau busuk dari pemakannya menghadiri solat berjemaah. Ini kerana Islam ingin mengelakkan kita menyakitkan orang lain dan menimbulkan kebencian sesama manusia.

Galakkan gosok gigi

Islam menggalakkan bersugi (gosok gigi) kerana ia mengelakkan bau busuk mulut seseorang. Bahkan, kalaulah tidak menjadi beban kepada umat ini sudah pasti kita diwajibkan bersugi lima kali sehari. Ini seperti sabda Nabi s.a.w: “Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Apabila kita berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang sukar dielakkan. Allah tahu hakikat tersebut. Allah Maha Tahu bahawa bau tersebut terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari keranaNYA. Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda: “Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti orang lain. Apatahlagi di zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, ataupun membabit ramai orang di sekeliling. Tambahan lagi, jika terdapat mereka yang bukan muslim, tentu akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap muslim yang berpuasa pada bulan Ramadan ataupun boleh menghilang gambaran keindahan Islam.

Maka pendapat yang menyuruh kita membiarkan bau busuk mulut semasa berpuasa tidak begitu kukuh dari segi sifat semulajadi ataupun neutrality  agama ini. Dengan menghormati perbezaan pendapat, namun realiti kehidupan yang mesra menolak pandangan tersebut. Ini ditambah dengan hadis-hadis yang seakan menggalakkan untuk seseorang yang berpuasa mengekalkan bau mulutnya itu adalah lemah dari segi riwayat. Tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w. seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi. Maka tidak boleh menjadi hujah. Apatahlagi bertentang dengan sifat Islam itu sendiri. Hadis-hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum merangkumi setiap waktu termasuk bulan Ramadan. 

Bukan Hujah

Antara hadis yang tersangat daif yang digunakan dalam bab ini  ialah dikatakan Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu berpuasa maka bersugilah pada waktu pagi dan jangan bersugi pada waktu petang”. Ia diriwayatkan oleh al-Bazzar, at-Tabarani dan lain-lain. Namun ia terlalu daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Di samping di sana ada hadis daif lain namun lebih kuat ataupun kurang daif daripadanya iaitu diriwayatkan ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku melihat Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud dll).

Apapun galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis yang sahih adalah asas dalam amalan muslim. Ertinya, bersugi sentiasa digalakkan tanpa mengira samada puasa ataupun tidak. Nabi s.a.w dalam hadis sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut: “Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan redha” (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dll).

Justeru itu, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat. Oleh itu jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah!

Jya mata

Sunday, July 22, 2012

Belum terfikir hendak ke Bazaar Ramadhan

Salam kembali.

Alhamdulillah, sey baru selesai solat sunat tarawikh berjemaah di masjid di hari kedua puasa ni. Seperti biasa di awal-awal Ramadhan ni memang ramai sungguh orang memenuhi ruang solat utama dan sey dua hari ni hanya dapat di bahagian luar. Tak mengapalahkan asalkan dapat solat berjemaah.

Pada kebiasaannya bila di awal Ramadhan ni ketika memikirkan menu apa untuk berbuka, selalunya medan Bazaar Ramadhan akan menjadi tumpuan ramai khusus untuk mereka yang pening fikir nak makan apa. Mudah dan senangkan...? Tunjuk saja apa yang diinginkan dan buatlah pelaburan sikit, maka selesailah masalah.

Sey pulak tak macam tu, sey dan keluarga lebih selesa menyediakan sendiri menu-menu untuk berbuka. Lagi pun sey tak nak membazir sebenarnya dan sey juga beranggapan enaknya makanan yang dijual di bazaar tu hanya di mata saja, bila bawa balik dan makan eemmm, biasa-biasa saja. Ini pendapat peribadi seylah, lain orang lain citarasanya kan?


Juadah berbuka pada hari pertama puasa


Jadi, semalam dan hari ini sey sekeluarga sediakan juadah-juadah yang boleh tahan juga meriahnya. Maklumlah kan bila keluarga ramai ni akan ada macam-macam permintaan, terutama selera anak-anak.


Kuih lopes

Rojak dan kuah kacang

Cencaru bakar daun kunyit

Sambal kerang petai

Berjumpa kita lagi nanti di lain entry.

Pengisian Ramadhan ini


Salam Ramadhan semua. Hari ini merupakan hari kedua kita menunaikan ibadah puasa. Semoga rakan-rakan pembaca semua akan terus diberikan kesihatan yang baik bagi menghabiskan hari-hari seterusnya di bulan yang penuh keberkatan ini.

Ustaz kata bukan saya kata yer....di dalam bulan Ramadhan ni seelok-eloknya kita mengisinya dengan perkara-perkara baik yang boleh memberi mafaat kepada semua tidak kiralah dalam bentuk material ker atau bahan ilmu. Jadi sey dalam entry kali ni hendaklah berkongsi ilmu dalam bentuk penulisan secara tidak langsung sey pun sebenarnya belajar darinya. Walau pun perkara yang sey nak kongsi ini sebenarnya ramai sudah yang tahu dan arif mengenainya akan tetapi apalah salahnya untuk kita sama-sama 'review' semula, manalah tahu kalau-kalau ada perkara-perkara yang kita terlupa atau tertinggal semasa menjalani kehidupan harian di dalam bulan ini. 

Inti-inti pengisian berkenaan  Ramadhan ni bukanlah kesemuanya dari sey. Sey rajinkan diri sekejap mencedoknya dari sumber-sumber di dalam talian dan beberapa buku rujukan. Yalah macam sey katakan tadi sey ni pun dalam proses pembelajaran juga. 



1. Konsep Puasa

Puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, malah dalam Islam,orang yang berpuasa juga dikehendaki:

a)      meninggalkan semua perkara yang boleh membatalkan puasa,
b)      meninggalkan perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala puasa seperti 
       mengumpat, berbohong, mencaci, menipu dan sebagainya.

Dalam bahasa Arab, puasa disebut sebagai “as-Siam”, yang bermaksud menahan. Puasa Ramadan pula bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari dengan niat pada malam hari.

2. Rukun, Kewajipan Berpuasa dan Kaifiatnya

Sebagai salah satu rukun puasa, seorang Islam perlu berniat pada malam hari sebelum berpuasa.

"Diriwayatkan dari Hafshah, ia berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW : Barangsiapi
tidak berniat (puasa Ramadan) sejak malam, maka tidak ada puasa baginya." (HR. Abu
Dawud) Hadis Sahih

Setelah itu, seseorang yang berpuasa itu perlu menahan diri daripada makan, minum
dan segala perbuatan yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga
terbenam matahari.
    
"...dan makan dan minumlah hingga jelas bagi kamu benang putih dari benang hitam,
iaitu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam...(Al-Baqarah: 187)

Bagi orang Islam yang telah baligh, hukum berpuasa adalah wajib.
Hukum puasa adalah harus bagi kanak-kanak yang belum baligh, makruh bagi orang yang
belum mandi wajib sebelum terbit fajar, serta haram bagi perempuan yang dalam
keadaan haid atau nifas.

Terdapat dua sebab yang mewajibkan puasa Ramadan iaitu:

a)      nampak anak bulan awal Ramadan selepas terbenam matahari
b)      mencukupkan bulan Syaaban 30 hari sekiranya anak bulan tidak kelihatan.

Orang yang berpuasa wajib berniat, iaitu bagi puasa wajib hendaklah berniat sebelum
terbit fajar, manakala bagi puasa sunat pula diharuskan berniat sebelum gelincir
matahari.

3.  Fadhilat dan Hikmat Puasa

Puasa dapat melahirkan peribadi yang amanah dan ikhlas, serta menjadikan kita
hamba yang bersyukur. Puasa dapat memberikan kecerdasan fikiran dan
membantu kita menjaga kesihatan badan.

Puasa dapat menimbulkan rasa insaf terhadap penderitaan orang miskin, orang
orang yang ditimpa bencana dan orang yang kurang bernasib baik. Keadaan ini
akan melahirkan rasa simpati dan mendorong kita untuk menghulurkan bantuan.

Puasa dapat menguatkan ketahanan jiwa serta dapat menjadi benteng yang
mengawal kita daripada godaan nafsu.

Puasa melatih diri kita bersih daripada sifat-sifat tamak, sombong dan hasad,
sebaliknya menanam sifat perpaduan kerana bersama-sama menunaikan
kewajipan yang sama.

4. Perkara Sunat, Makruh dan Yang Membatalkan Puasa

Perkara-perkara sunat puasa

a)      membanyakkan membaca al-Quran
b)      mandi junub sebelum fajar
c)      melewatkan sahur waktu imsak
d)      berbuka dengan buah tamar dan benda manis
e)      membanyakkan sedekah
f)        solat terawih
g)      segera berbuka bila masuk waktu

Perkara-perkara makruh puasa

a)      berkumur-kumur dengan keterlaluan
b)      merasa makanan dengan lidah
c)      bercakap perkara-perkara buruk dan keji
d)      memasukkan air yang berlebihan ketika berwuduk
e)      gosok gigi setelah gelincir matahari
f)        mencium isteri
g)      menderma darah

Perkara-perkara yang membatalkan puasa:

a)      makan dan minum dengan sengaja
b)      mengeluarkan air mani dengan sengaja
c)      haid, nifas dan wiladah(melahirkan anak)
d)      muntah dan memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan sengaja
e)      melakukan persetubuhan
f)        gila walaupun sebentar
g)      murtad
h)      berbuka sebelum yakin masuk waktu Maghrib.

Perkara yang tidak membatalkan puasa:

a)      Menelan air liur yang bersih dan bagi orang yang selalu berdarah gusinya adalah dimaafkan.
b)      Bersuntik
c)      Tidur walaupun sepanjang hari
d)      Termasuk debu atau lalat ke dalam rongga
e)      Tertelan air yang dikumur tanpa sengaja

Hari-hari sunat puasa:

a)      pada 9 Zulhijjah (hari Arafah)
b)      pada 9 Muharram (hari Tasu’a)
c)      pada 10 Muharram (hari Asyura)
d)      6 hari pada bulan Syawal
e)      Hari Isnin dan Khamis

Hari-hari diharamkan puasa.

a)      Hari Raya Puasa (Aidilfitri) yang pertama (1 Syawal)
b)      Hari Raya Haji (Aidiladha) yang pertama (10 Zullhijjah)
c)      Hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah)

5. Rukhsah Dalam Ibadat Puasa

Sebagaimana dalam ibadat solat, Allah S.W.T. telah memberikan rukhsah dalam
ibadat puasa supaya kita dapat menunaikannya walau dalam keadaan apa
sekalipun.

Orang-orang yang mendapat rukhsah dalam ibadat puasa ialah:-

a)      orang sakit
b)      orang musafir
c)      ibu yang hamil atau menyusukan anak
d)      orang yang terlalu tua
e)      orang yang bekerja berat
f)        orang yang akan mendapat mudarat jika meneruskan puasanya kerana terlalu
       lapar

Orang yang diharamkan berpuasa ialah perempuan yang berada dalam keadaan
haid dan nifas.

Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa orang yang berbuka puasa
Ramadan walaupun hanya sehari tanpa sebab-sebab rukhsah yang
telah ditetapkan, dia tidak akan dapat menggantikannya (untuk
mendapat pahala yang sama) walaupun ia berpuasa selama
lamanya.

Berdasarkan ayat 184 surah al-Baqarah, Allah S.W.T.
menjelaskan bahawa umat Islam wajib untuk mengqadakan
puasanya atau membayar fidyah sekiranya dia meninggalkan
puasa Ramadan atas sebab-sebab tertentu.

6. Qada dan Fidyah Puasa

Qada ialah menggantikan puasa yang ditinggalkan pada
hari yang lain.

Orang yang wajib qada ialah:

a)      orang yang berbuka kerana sakit, wajib qada setelah sembuh
b)      orang yang berbuka kerana gila, wajib qada setelah sembuh
c)      orang yang berbuka kerana tersangat lapar
d)      orang yang berbuka kerana musafir, wajib qada setelah habis musafir
e)      orang perempuan yang berbuka kerana haid atau nifas, wajib qada setelah bersuci
f)    perempuan mengandung atau menyusukan anak yang berbuka kerana bimbangkan kesihatan dirinya Fidyah ialah denda kerana meninggalkan puasa, iaitu secupak makanan asasi bagi satu hari puasa yang ditinggalkan.

Orang yang wajib membayar fidyah sahaja ialah:

a)      orang tua yang uzur
b)      orang sakit yang tiada harapan sembuh
c)      orang yang sentiasa bekerja berat sehingga   memudaratkan diri jika berpuasa

Orang yang wajib qada serta fidyah

a)      perempuan mengandung atau menyusukan anak yang berbuka kerana bimbangkan kesihatan anak yang dikandung atau disusukannya.
b)    Orang yang melewatkan qada puasa sehingga melewati Ramadan yang berikutnya. 

7. Keistimewaan Puasa Ramadan

Kelebihan orang yang berpuasa ialah:
a)    Allah sendiri yang akan memberikan orang yang berpuasa itu ganjaran pahala puasanya.
b)   Orang berpuasa akan masuk syurga melalui pintu gerbang yang dikenali sebagai Rayyan, yang disediakan oleh Allah
c)    Dapat menghapuskan dosa yang lalu disamping mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah 

Orang yang berpuasa mendapat 2 kegembiraan iaitu:

a)      kegembiraan ketika berbuka puasa
b)      kegembiraan ketika berjumpa Allah S.W.T. di akhirat kelak

8. Adab-adab Berpuasa

a). Berbuka puasa apabila telah masuk waktu Maghrib
- disegerakan yakni sebelum melaksanakan solat Maghrib dengan makanan yang
ringan seperti kurma,  air sahaja, setelah itu baru melaksanakan solat.
- tetapi jika makan malam telah dihidangkan, maka terus dimakan, jangan solat
dahulu.
- berbuka dengan doa: "telah hilang rasa haus, dan menjadi basah semua urat
urat dan pahala tetap wujud, insyaAllah.

b). Sahur dilambatkan sehingga mendekati subuh. Jika tengah makan atau minum
sahur lalu mendengar azan Subuh, maka sahur masih boleh diteruskan sehingga
selesai. Imsak tiada sunnahnya dan tidak diamalkan pada zaman sahabat dan para
tabi'in.

c). Banyakkan bersedekah.

d). Mengerjakan solat terawih pada malam-malam Ramadan.

e). Berusaha mendapatkan Lailatul Qadar terutama pada sepuluh malam terakhir.

f). Mengerjakan iktikaf pada sepuluh malam terakhir.

g). Mengerjakan umrah.

h). Menjauhi perkataan dan perbuatan keji dan menjauhi pertengkaran.      

9. Perkara Sunat dan Makruh Ketika Berpuasa

Perkara-perkara sunat yang dilakukan semasa berbuka puasa.

a). Berbuka dahulu dengan buah tamar atau makanan yang manis.
b). Mempercepatkan berbuka setelah masuk waktu dan melewatkan sahur
c). Memperbanyakkan membaca al-Quran
d). Memberi sedekah.
e). Mendirikan solat sunat Tarawikh secara berjemaah.     

perkara-perkara makruh yang perlu dijauhi semasa berpuasa:

a)                  bercakap perkara buruk atau keji.
b)                  membuang masa dengan sia-sia
c)                  berkumur dengan berlebih-lebihan
d)                  melambat-lambatkan berbuka.

Perkara-perkara makruh yang perlu dijauhi semasa berpuasa:

a)                  bercakap perkara buruk atau keji
b)                  membuang masa dengan sia-sia
c)                  berkumur dengan berlebih-lebihan
d)                  melambat-lambatkan berbuka

Rukun puasa

a)                  niat sebelum terbit fajar
b)                  menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa

10.  Sebab-sebab yang Membolehkan Berbuka Puasa.

Ada juga orang-orang tertentu yang dibolehkan atau dikecualikan daripada
berpuasa atas sebab tertentu. Walaubagaimanapun diwajibkan ke atas mereka
untuk mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu dan membayar fidyah.

Mereka yang diharuskan berbuka ialah:

a)                  orang yang sakit teruk
b)                  orang musafir yang melebihi 2 marhalah dengan tujuan yang baik.
c)                  Orang yang uzur atau terlalu tua.
d)                  Perempuan yang mengandung dan perempuan yang menyusukan anak.
e)                  Orang yang sakit dan tiada harapan sembuh.
f)                    Orang yang sangat lapar dan dahaga sehingga boleh memudaratkan.
g)                  Orang yang melakukan pekerjaan halal yang sangat berat sebagai
              sumber kehidupan.

Orang-orang yang meninggalkan puasa tersebut perlu menggantikan puasa
tersebut dengan qada atau fidyah atau kedua-duanya.

Orang yang tidak mengqadakan puasanya sehingga puasa tahun hadapan
dikehendaki membayar fidyah sebanyak 1 cupak makanan asas bagi 1 hari puasa
di samping mengqadakannya.

 Perkara-perkara yang membatalkan puasa:
a)                  makan dan minum dengan sengaja
b)                  muntah dengan sengaja
c)                  melahirkan anak
d)                  mabuk sepanjang hari
e)                  murtad
f)                    melakukan persetubuhan
g)                  keluar darah haid dan nifas
h)                  gila
i)                    keluar mani dengan sengaja
j)                    memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dengan sengaja.

Hikmat-hikmat berpuasa:

a)                  menjadikan seseorang beriman dan taat kepada Allah
b)                  memupuk sifat sabar dalam diri
c)                  menjamin kesihatan rohani dan jasmani
d)                  mendisiplinkan diri dalam kehidupan harian
e)                  Allah mengampunkan dosa orang yang berpuasa





Semoga kita berjumpa lagi di dalam ruang Secawan Kopi @ My Perpatih Kissaten untuk sey berkongsi lagi cerita di sepanjang bulan Ramadhan ini. InsyaAllah.


Jya mata.....














Apakah Ini RINDU....

Aaaloooooo........Konnichiwa minna.... Masih lagi sey tidak lupa bait perkataan  tu walau telah sekian lama meninggalkan bumi di mana per...