Saturday, December 24, 2011

My Yong Tau Fu versi Jepun


Obaku Plaza (panorama)


Malam ini tiba-tiba teringat nak makan benda yang sudah setengah tahun eden dan keluarga tidak nikmati.....jadi untuk dinner kali ini eden pergilah ke market untuk mencari oden yang semuanya diperbuat dari ikan, crab meat, telur burung puyuh dan juga konyaku. Untuk pengetahuan pembaca, menurut orang Jepun konyaku  amat baik untuk orang yang sedang berdiet. Hahaah...kami malam ni bersantap dengan YONG TAU FU..cuma kurang sayur kankungnya saja pasal kat Jepun ni memang tak ada sayur jenis itu.  Kalau di Malaysia bila teringat saja nak makan yong tau fu eden akan pergi belinya di pasar malam, tapi di Jepun ni idea tu kena lebih sikitlah kalau berhajat nak makan benda ni terutama bab kuahnya tu. 

Fish Oden and sauce

Yong Tau Fu versi Jepun

Full set dinner, yong tau fu and fried udon with fried egg

Rasanya tu mungkin tak sama kaw dengan yang Malaysia, yalah serba kekuranganlah katakan di sini, tapi kira boleh makanlah jika nak melepaskan rindu dengan yong tau fu ni. Bersama ini eden sertakan resepi untuk kuah yong tau fu ni kalau-kalau ada antara pembaca ingin mencubanya.

Bahan-bahan. (kuah untuk 3 orang makan)

  • 1 sudu besar (penuh) taucu di tumbuk atau kisar halus
  • 1 sudu kecil ikan bilis yang telah di basuh dan di tumbuk halus
  • 1 sudu besar tomato sos
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar kicap manis 
  • 1 sudu kecil cili kisar (ikut rasa kalau mahu pedas letak lebih sikit)
  • 1 biji bawang putih di tumbuk halus
  • Perasa - 1 sudu besar gula, garam secukup rasa (hati-hati letak garam kerana taucu dah cukup masin)
  • 1/2 gelas air
  • 1 sudu teh tepung jagung dan campur sedikit air

Cara membuatnya.

  • Campurkan taucu, ikan bilis, sos tomato, sos tiram. kicap manis, cili, bawang putih dan air. Didihkan di dalam periuk
  • Setelah mendidih masukan gula dan garam secukupnya - biarkan mendidih sekejap dan masukan tepung jagung
  • Setelah cukup rasa padamkan api
Sekarang siaplah kuahnya dan bolehlah dihidangkan dengan oden yang di celur sebentar dalam air panas. Oden jangan di celur  terlalu lama dikhuatiri akan hilang rasanya dan lembik. 

Selamat mencuba.



Thursday, December 22, 2011

Nasi goreng kimchi lagi.

Salam semua.

Bermulah minggu yang sibuk sebab apa eden cakap macam tu ialah sejak 2 hari sudah eden sudah mula mengemas dan mem'packing'kan barang-barang. Yalah elok eden mula sikit-sikit dulu supaya tak gelabah kalau buat kerja di saat-saat akhir nanti. So malam ni eden hanya dinner dengan nasi goreng kimchi sahaja sebab senang disediakan dan masa nak buatnya pun taklah lama sangat. Sebelum ni pun eden ada postkan entry pasal nasi goreng kimchi ni kan? jadi tidak adalah nak cerita panjang-panjang. Rumah eden sekarang dalam keadaan macam tongkang pecah buat sementara ni sebelum mana-mana barang yang tidak perlu eden hendak clearkan dulu. 

Semoga berjumpa lagi di lain borak @ My Perpatih Kissaten.


Nasi goreng kimchi

Sunday, December 18, 2011

Our First Home Made Maki Sushi

Salam pembaca semua.


Full set dinner tonight

Malam ni eden teringat nak makan sushi buatan sendiri. Sebenarnya dah lama eden berangan-angan nak belajar buat sushi sendiri setelah lebih 4 tahun di sini barulah malam ni impian tu terlaksana. Lama tu kan..?Yalah selama ni kalau teragak nak makan sushi eden pergi jer kat restoran sushi, senang... dan yen pun senang juga keluar. Nasib baiklah selera makan sushi ni bukannya datang selalu. Jadi untuk dinner malam ni eden dan isteri buat maki sushi. Bahan yang kami gunakan ialah telur dadar, crab meat, timun dan avokado. Cara membuatnya seperti gambar di bawah ni.








Buatan kali pertama ni menjadi tapi belum beberapa kemas lagi. Harap-harap selepas eden akan buat lebih baik lagi macam yang di jual di kedai tu. yalah kalau nak dibandingkan dengan chef sushi Jepun yang dah bertahun-tahun tidur bangunnya dengan buat sushi ni, sekurang-kurangnya bonus untuk amatur seperti eden dan isteri. Lagi pun sudah tercapailah hajat dan impian eden nak buat sushi sendiri hari ni.

Saturday, December 17, 2011

Mencuba hot plate baru




Berhujung minggu kita seperti biasa.

Hari ini cuaca pada kiraan eden adalah yang paling sejuk dari sebelum ini di Kyoto dan dijangkakan selepas ini akan suhu akan bertambah turun pada hujung bulan ni. Bacaan di awal pagi tadi di Uji ni ialah cezero degree celcius. Kyoto di bahagian sebelah utara dipanggil Tango sudah pun merasai turunnya salji yang pertama. Shiga , Prefecture yang bersebelahan dengan Kyoto juga menerima nasib yang sama dengan Tango. Tempat eden ni mungkin lambat lagi turun salji, mungkin di penghujung bulan ni atau awal Januari, tahun depan. Uji jika dilihat dalam peta Kyoto kedudukannya paling di selatan sekali, sebab tu lambat merasanya snow nya kalau ada pun bak kata orang nak buat ais kacang pun tak cukup. Tahun sudah bagus snownya, dapatlah eden dan anak-anak buat snow man kecik dan harap-harap tahun atau awal tahun depan lagi banyaklah turunnya sebelum eden berangkat pulang, InsyaAllah.

Peta Kyoto juga digambarkan sebagai Dragon



Ok...untuk minggu ni menu eden pun ada upgrade sikit, dari pekakasan memasak makanan dan tambahan ingrediantnya. Kali ini menu eden sediakan untuk keluarga ialah Creamy Spaghetti with asparagus and clam. Untuk spaghetti ni eden top-up sedikit macha tea untuk kelainan. Selain itu eden buat Stuffed Potatoes with cheddar cheese dan sekali lagi eden buat grilled lamb tapi kali ini eden tak panggang di dapur, eden panggang di atas meja dalam hot plate  yang baru eden beli dua hari sudah. Di Jepun ni hot plate memang popular dan boleh dikatakan setiap rumah ada menyimpannya. Boleh dikatakan sudah menjadi satu trend keluarga di Jepun ni makan sambil memanggang daging, ikan, sayur dan sebagainya di atas meja, tambah-tambah dalam musim sejuk ni. Bila eden sudah guna hot plate ni baru eden paham mengapa orang Jepun menyukainya, kita boleh masak dengan selesanya diatas hot carpet, makanan yang dah masak tidak perlu di hidang, terus saja di letak dalam pinggan dan banyak lagilah kemudahannya. Apa saja di masak di musim sebegini semuanya sedap belaka, so eden sekeluarga tetap enjoy dengan apa yang kami makan. Burrp........Alhamdulillah.





Kaunter Pelanggan di Jepun yang Simple

Pada hari Khamis yang lepas eden bersama isteri pergi ke Uji City Hall untuk urusan Alien Card. Untuk makluman pembaca,  Alien Card ini ialah kad pengenalan diri bagi warga asing yang tinggal di Jepun.

Apa yang eden nak kongsi di sini ialah berkenaan interior design sebuah pejabat kerajaan tipikal di Jepun. Cuba kita amati dan buat perbandingan tentang gambar di bawah dengan mana-mana pejabat kerajaan di negara kita. Mungkin pada sesetengah orang, pejabat kerajaan di Jepun ini nampak biasa saja dan lebih kurang serupa dengan yang di negara kita.  Tapi apa yang yang boleh kita lihat ialah  interior design nya yang simple. Yang lebih menarik ialah  kaunter urusannya yang lebih mesra dan tiada partition atau cermin-cermin penghadang. Ini bermakna interaksi diantara pegawai bertugas dan pelanggan lebih mesra dan efektif.  Pernah tak pembaca rasa tak selesa berurusan dengan pegawai kaunter yang duduk di belakang cermin penghadang, manakala kita terpaksa berdiri? Eden banyak kali berurusan di pejabat-pejabat sebegini. Bayangkan pegawai kaunter duduk dan beri penerangan, kita yang berdiri ini tak dapat mendengar dengan baik kerana di'halang' penghadang dan kerana ketinggian berbeza (yalah....pegawai duduk, manakala kita berdiri), bila minta diulang apa yang diperkatakan berkali-kali, pegawai pun hilang cool, sudahnya kita kena 'marah'.....dan dah tentulah kita pun  sedih dan kecil hati kerana di'marahi' depan orang ramai.


Cuba tengok gambar di atas, kan lebih baik sekiranya pejabat kerajaan kita sebegini. Interaksi lebih mesra, semua yang cuba kita perkatakan dapat didengar dengan lebih baik oleh pegawai, dan apa yang cuba disampaikan oleh pegawai kaunter pun sampai kepada telinga kita dengan lebih cepat. Jimat waktu berurusan, dan tak adalah perasaan tak selesa keran cermin penghadang yang cold itu. Tempat duduk sementara menunggu pun tak banyak seperti di pejabat kerajaan kita, bahkan lebih luas, ruang kaki juga lebih selesa dan luas.

Tapi, apa yang paling bagusnya ialah, pegawai bertugas tak akan biarkan kita berdiri lama di depan kaunter. Semua pegawai atau kakitangan bertanggungjawab melayan pelanggan, maksudnya sekiranya seorang pegawai sedang melakukan tugas, beliau akan terus berhenti melakukan tugasnya untuk menyambut kita dan bertanyakan apa urusan kita. Sebaik mungkin kita dilayan sehingga masalah kita selesai. Kita tak pernah dapat bertanya soalan 'mana pegawai ni? lama dah saya menunggu' atau 'bilalah dia orang ni nak layan kita ni?'. Itulah hebatnya pegawai kerajaan di Jepun.

Tujuan eden menulis ni bukan untuk mengatakan pejabat kerajaan kita teruk, kerana banyak yang telah berubah cemerlang tetapi rasanya sekiranya kakitangan kaunter lebih mesra dengan dibantu design kaunter seperti di Jepun ini, tentulah pelanggan lebih gembira. Tanpa peralatan pejabat yang tidak diperlukan serta interior yang kurang sesak, wang kerajaan juga dapat dijimatkan untuk kegunaan pembangunan lain yang lebih mendesak. Eden rasa, kerusi-kerusi di kaunter juga sangat-sangat penting untuk orang kurang upaya, orang tua dan yang sakit, tetapi terpaksa berurusan dengan pejabat kerajaan. Eden pernah nampak satu keadaan di mana kakitangan kaunter keluar dari tempatnya berurusan untuk melayan pelanggan tua di tempat menunggu (kerusi biru itu).....beliau sanggup mencangkung dan melayan pelanggan tua itu hingga 30 minit lamanya. Memang HEBAT kan? Harapnya kita pun mampu meletakkan pelanggan di kedudukan yang tinggi, walau apa keadaan pelanggan itu sekalipun.





Berjumpa kita lagi nanti di lain borak @ My Perpatih Kissaten. Jya mata....

Wednesday, December 14, 2011

Menariknya packaging orang Jepun

Salam pembaca semua.

Hari ini isteri eden bawa balik ke rumah Japanese snack dari labnya. Japanese snack ni sebenarnya eden banyak sudah rasa cuma kali ni yang isteri eden bawa snack yang agak special sikit dan harganya pun lebih mahal dari snack murah yang sering eden beli di pasaraya. Jadi hari ini eden nak kongsi sikit pasal apa yang dikatakan istimewanya snack ini.

Sudah menjadi budaya di Jepun ini bila tibanya setiap musim atau tidak mengira musim, mesti ada sahaja barangan makanan dan minuman yang di bawa oleh syarikat atau orang perseorangan kepada sahabat handai atau client sebagai hadiah. Kebiasaan hadiah itu dalam bentuk keropok tradisional Jepun (yang dipanggil senbei - dibuat dari tepung beras atau tepung pulut), kek, coklat, sup dalam tin, kari dalam tin, mee segera dan sebagainya. Pada musim-musim tertentu ada kebanyakan pasaraya mempakejkan barangan tertentu untuk dijadikan hadiah. Kalau di Malaysia yang biasa kita lihat ialah hadiah dalam bentuk hamper tapi di Jepun ni berlainan sikit. Macam di kebanyakan lab di Kyoto University ni ada sahaja buah tangan atau hadiah yang dihantar melalui pos oleh bekas-bekas pelajar yang walaupun sudah lama meninggalkan universiti. Pihak-pihak syarikat yang ada berurusniaga dengan pihak University juga tidak terkecuali melakukan perkara sama. Bagi bekas-bekas pelajar, ada yang tidak pernah lupa menghantar hadiah setiap tahun walaupun telah bekerja jauh di Tokyo, Hokkaido dan sebagainya.

Istimewanya hadiah-hadiah ini ialah packagingnya, memang mereka hebat dari segi ini. Kalau nak diikutkan ada antara makanan yang dijual tidak adalah sedap mana sangat atau biasa-biasa saja rasanya, tapi memandangkan kualiti dan rekabentuk pembungkusnya cukup menarik, maka orang tetap akan membeli dan menjadikannya sebagai hadiah. Dari segi harganya pula sudah tentulah lebih mahal sikit dari snek-snek yang dibungkus biasa. Biasanya bungkusan ini di buat dari bahan yang tidak mudah koyak dan tahan lama. Menariknya juga di bahagian belakang setiap packaging pula akan di cetak jumlah kalori bagi setiap makanan itu, ini memudahkan pembeli mengawal pengambilan kalori mereka. Memang eden akui bahawa Jepun ni kalau dalam bab-bab membungkus ni memang hebat, bukan setakat untuk barangan makanan sahaja malah apa juga bentuk barangan hadiah yang lain. Dari sekecil-kecil barang hinggalah yang besar, semuanya dibungkus dengan teliti dan menarik dan itulah sebenarnya cara mereka untuk menarik minat pelanggan untuk membeli. 

Eden rasa kita pun patut berbuat perkara yang sama dalam bab packaging ni, tidak mengapalah berbelanja lebih sikit asalkan kualiti dalam membuat dan kuantiti dalam menjual boleh dipertingkatkan. Banyak barangan makanan kita yang sedap-sedap, contohnya keropok, dodol, kek lapis, serunding atau kerepek yang boleh lebih ditonjolkan dengan bantuan packaging yang lebih menarik lagi. Tapi tidak dinafikan ada barangan yang telahpun dibungkus cantik dan dipasarkan, contohnya kuih bulan. Kalaulah semua barangan kita dapat membuat transformasi pembungkusan, rasanya jumlah jualan akan meningkat berlipat kali ganda.




Tiga gambar diatas menunjukkan bertapa menariknya produk
dibungkus dengan baik dan cantik

Yang ini daging yang dah diawet



Tiga gambar diatas pula adalah senbei dan imej sakura mesti tak tinggal

Sunday, December 11, 2011

Obaku Festival

Sedikit pemandangan di luar sekitar Obaku Hall


Hari ini eden bersama anak perempuan yang sulung pergi melihat pameran lukisan di Obaku Hall sempena Festival Obaku. Eden pun sebenarnya tidak beberapa pasti festival ini diadakan sempena apa, mungkin ada dalam kalendar tahunan di Daerah Uji ni. Sekolah anak eden dan beberapa sekolah lagi di sekitar  Uji turut mengambil bahagian dalam pameran lukisan yang di hasilkan oleh pelajar-pelajar mereka. Eden datang sebab lukisan anak eden ni telah terpilih untuk dipamerkan. Hanya satu lukisan sahaja yang dipilih dari setiap kelas, jadi kira eden berasa bangga jugalah sebab lukisan anak eden terpilih. 

Festival bermula dari jam 10.00 pagi hingga jam 3.00 petang. Waktu eden sampai waktu tengahari, orang sudah pun ramai. Bukan setakat pameran, gerai-gerai jualan makanan dan barang juga diadakan, malah mini konsert juga ada. Rasanya itulah agaknya orang ramai datang berpusu-pusu memeriahkan festival ni. Eden habiskan masa lebih kurang 1 1/2 jam di sini mengambil gambar apa yang patut sebelum beredar untuk agenda lain pula.

Obaku Hall

Inilah lukisan anak eden tu

Sebahagian lukisan yang dipamerkan

Mini konsert

Sebahagian gerai-gerai jualan


Saturday, December 10, 2011

Gunting rambut

Membeli tiket untuk menaiki keretapi
Yen 140


Ruang Borak Corner hari ini eden nak sharing pasal cerita gunting rambut. Mungkin ini kisah-kisah biasa saja, tapi pada eden dan anak, benda ni sangat interesting. Di Jepun ni memang banyak kedai gunting rambut, boleh kata macam cendawan tumbuh. Tapi kedai yang paling banyak ialah salon untuk perempuan. Eden nampak orang Jepun ni suka sangat berdandan rambut dan mewarna rambut hinggakan budak-budak sekolah (Menengah) pun berbuat demikian. Agaknya di sekolah mereka tiada larangan bagi mewarna rambut ni kot.

Tempat yang eden nak pergi ni taklah jauh sangat dari rumah, kayuh basikal pun boleh tapi memandangkan cuaca sejuk sangat jadi eden dan anak naik train sahaja. Barber Shop yang eden pergi ni agak special sikit dan tidak banyak di Jepun ni. Potonglah apa fesyen pun, mereka akan caj Yen 1,000 saja. Service mereka pula untuk semua peringkat umur. Konsep kedai ini ialah bayar dulu di mesin dan kita akan mendapat slip cetakan yang tertera nombor giliran. Istimewanya mesin bayaran ni ialah adanya butang bagi potongan rambut untuk kanak-kanak, lelaki dewasa dan wanita dewasa, jadi kalau ramai pelanggan sekali pun pada masa kita sampai, tak perlulah risau kalau-kalau kena tunggu lama. Mereka akan memanggil pelanggan mengikut kategori dan nombor cetakan yang telah direkodkan tadi. Masa eden sampai tadi pun memang ramai orang, dalam hati fikir jenuhlah menunggu giliran, tapi selang beberapa minit saja nombor giliran eden dipanggil...fuhh lega. Untuk kanak-kanak memang special sikit pasal semasa mengunting kanak-kanak ni akan disajikan dengan tayangan video cerita kartun kegemaran. Tom and Jerrylah, Thomaslah, dan beberapa siri popular lagi, tapi maaflah semua dalam bahasa Jepun. Selesai  mengunting pula, mereka akan  dihadiahkan pilihan alat permainan untuk  secara percuma. Emm bagus juga ye cara mereka menarik pelangan. Sebab itulah anak eden suka Barber ni.





Jya mata ne....

Weekend Dinner again

Salam sejahtera pembaca semua.

Full set Dinner

Berhujung minggu kita kembali setelah minggu sudah eden tak berjaya berbuat demikian kerana kesibukan. Hari ini cuaca bertambah sejuk, bacaan suhu pagi tadi serendah 2 darjah celcius di Kyoto. Anak lelaki eden dah mula sok-sek sok-sek bunyi hidungnya, yang perempuan pun dah menunjukkan tanda-tanda yang sama. Perkara biasalah di Jepun ni bila masuk musim sejuk, kalau sering terdedah diri di luar maka demam flu mulalah berjinak-jinak nak berkenalan dengan kita. 

Ok...juadah dinner di hujung minggu ini eden sebenarnya gantung tangan. Bukan sebab eden saja nak cuti masak, tapi hari ini jari eden mengalami kemalangan terhiris oleh pisau sewaktu menyediakan breakfast pagi tadi. Luka yang menyebabkan berlaku agak banyak pendarahan dan boleh dikatakan ngeri jugalah. Setelah beberapa minit barulah eden berjaya menghentikan pendarahan tersebut, jadi sebab itulah isteri eden mengambil alih sementara menyediakan juadah mungkin untuk beberapa hari ni. Terima kasihlah kepada isteri eden walau beliau masih lagi dalam kesibukan dengan kerja-kerjanya di Lab.

Hari ini isteri eden menyediakan menu Rosemary Flavored Lamb with black pepper sauce, Eggplant Macaroni, Roasted Potatoes with mustard sauce and paprika, simple salad and special Matcha Cappucino.  

Rosemary Flavored  Roasted Lamb

Roasted Potatoes with Mustard Sauce and Paprika

Eggplant Macaroni

Homemade Matcha Cappucino

Friday, December 9, 2011

Mudahnya berurusan di Pejabat Kerajaan Jepun

Sedikit panorama sepanjang kami
berjalan kaki selepas berurusan
di Pejabat Imigresen, Kyoto City

Selamat hari Jumaat yang dingin. Memang hari ini cuaca sejuk sangat tambahan disusuli gerimis sepanjang hari. Sejak semalam hujan membasahi bumi Kyoto ini, itu yang membuatkan suhu turun agak tinggi. Bacaan sekarang ialah 4 darjah celcius. Musim sejuk ni memang dijangkakan akan kerap hujan kerana ia akan mempengaruhi turunnya salji. Eden berharap juga kalau-kalau salji akan turun lebat untuk tahun ini di Uji-Kyoto sebelum eden berangkat pulang ke Malaysia nanti.

Oh ya...hari ini eden dengan isteri dan anak lelaki eden  keluar ke bandar Kyoto, dengan menaiki densha (Train), kerana berurusan dengan pihak Imigresen. Visa kami akan tamat pada hujung bulan Disember ni, jadi kena renew kadar segera kerana tidak mahu jadi illegal di negara ini.  Berurusan dengan pihak Imegresen di Jepun tidaklah sukar sangat sekiranya kita betul-betul mengikut prosedur yang betul membuat permohonan. Permohonan memang agak rumit sikit, semua borang harus lengkap dan dokumen-dokumen sokongan mesti ada dan barulah segalanya berjalan lancar. Imigresen Jepun ni memang amat particular sikit berkenaan tempoh lanjut tinggal orang asing di negaranya. Jadi hari ini agak bertuah juga kerana tiada sangat orang berurusan di kaunter dan urusan cepat siapnya. Di Jepun ni waktu paling ramai orang berurusan di kaunter biasanya pada hari permulaan minggu (Isnin). Pergi saja mana-mana pejabat yang ada urusan kaunter, memang penuh orang dan lamalah kita menunggunya.Cuma ada satu perkara yang eden nak sharing hari ni semasa berurusan tadi, ada satu dokumen yang kami tak bawa, dalam hati berkata habislah hari ni confirm tak dapat renew visa dan nak kena datang balik lagilah ni. Yalah eden bukanlah duduk dekat dengan pejabat Imigresen ni, 16 kilometer tu.....jadi kalau kena balik, alahai........dan kerana rezeki kami agaknya hari ni, permohonan visa kami diterima.  

Pejabat Imigresen legang pagi ni semasa kami tiba

Oh ya, bercerita  tentang satu dokumen yang tidak lengkap tadi, pihak Imigresen minta di hantar dalam masa 10 hari ke pejabat semula...emm dan terfikir juga alakah bagusnya sikap begini kerana tidak secara langsung sebenarnya tidak memberi kesusahan kepada permohon untuk berulang-alik untuk berurusan. Apa yang terfikir oleh minda eden dan mungkin kepada pembaca semua agar konsep begini dapat dipraktikan juga dengan kadar segera  di negara kita agar slogan pelanggan didahulukan dapat diterjemahkan sepenuhnya.

Setelah selesai segala urusan tadi dan tambahan pula kami banyak juga berjalan pergi dan balik dalam cuaca sejuk pula tu, apa lagi perut pun mulalah berlagu-lagu kelaparan. Jadi, kami singgah dulu untuk lunch di sebuah restoran halal Mr. Kababu yang diusahakan oleh seorang rakyat Iran sebelum eden pergi menunaikan solat Jumaat. 

Menu Kubide Kebab di Restoran halal Mr Kababu

Menikmati lunch di Restoran Iran, Mr. Kababu

Solat Jumaat di Kyoto Muslim Association (KMA), Kyoto

Berjumpa lagi di lain masa di ruang Borak Corner @ My Perpatih Kissaten.

Apakah Ini RINDU....

Aaaloooooo........Konnichiwa minna.... Masih lagi sey tidak lupa bait perkataan  tu walau telah sekian lama meninggalkan bumi di mana per...