Sekarang ni boleh kata hari-hari cuaca di tempat sey ni hujan sahaja. Mungkin bukan tempat sey saja malah negeri lain pun sama, cuma mungkin beza kerap atau lebat ke tidak hujannya. Yalahkan kalau dalam kalendar Malaysia ni kalau masuk je bulan November hinggalah Disember memang sinonim dengan bulan datangnya musim tengkujuh. Akan tetapi sey rasa kali ni musim hujan agak panjang dan dengarnya akan berlarutan ke pertengahan Januari hingga Mac tahun depan. Rujukan MOSTI
Dan di hujung-hujung tahun ini juga sebenarnya sekarang kat Malaysia ni orang sedang berlumba-lumba mengadakan majlis perkahwinan. Memandangkan ianya juga merupakan cuti persekolahan bagi semua sekolah di Malaysia. Sebab itu ramai yang mengambil peluang mengadakan majlis-majlis sedemikian. Boleh dikatakan setiap minggu ada saja jemputan yang datang dan kadang-kadang sey pun rasa kesian juga bila mana kalau majlis tu berlangsung di dalam keadaan hujan yang lebat terutama yang mengadakan majlis di rumah sendiri. Bagi yang mengadakan majlis di dalam dewan mungkin kurang sikit cabarannya.
Bila menghadiri majlis ketika dalam kehujanan ni teringat sey masa kat kampung dulu. Bezanya majlis di taman-taman perumahan dan di kampung amat ketara sekali. Kalau di taman-taman perumahan mungkin cuma setakat basah sedikit dek air hujan saja tapi kalau di kampung tu emm...siap becak lumpurnya dan jangan haraplah nak pakai cantik-cantik time tu, mesti akan terpalit lumpur punya. Tapi sebenarnya best walau pun sedikit sukar.
OK...hari tu (20hb hingga 22hb November) sey dan keluarga pergi cuti-cuti Malaysia. Tempat yang sey pergi jauhhhhhlah sangat, jiran sebelah Melaka. Hi..hi..hi..Melaka lagi ye tak..? Hari tu rasanya memang sey dah pergi pun, ni kira kali kedualah ni selepas balik.
Sey sebenarnya bukanlah merancang lama nak datang bercuti ke Melaka lagi. Isteri sey ada kursus anjuran pejabatnya selama dua hari di sana dan duduk di hotel 5 bintang pulak. Jadi......sey pun 'monyolam' sambil minum airlah. Bilik free ye tak..? jadi tak kan lah nak sia-siakan begitu je....Sebenarnya memang banyak kali sey mengikuti isteri sey dalam trip-trip sebegini tapi ianya bergantung pada bilik yang macam mana isteri dapat juga dan berapa lama pula kursusnya. Iyalahkan...disamping isteri sey sibuk berkursus sey dan anak-anak dapatlah juga bercuti di tempat orang dengan perbelanjaan yang berhemah.
Tapi hakikatnya sey memang suka Melaka pun, antara sebuah negeri yang pesat pembangunan budayaloginya. Kesan-kesan tinggalan sejarahnya sudah cukup untuk menarik minat orang ramai datang berkunjung ke sana. Melaka tidak perlu tercari-cari tapak untuk bagaimana hendak menarik orang datang, pada sey dengan mengetahui dan membacanya akan sejarahnya saja pasti orang akan teruja untuk mencungkil dan melihat dengan secara lebih dekat apa yang ada di sana. Bertuahnya juga Bandar Hilir kerana tidak menyusahkan para pengunjung untuk bergerak jauh-jauh, Jongker Walk, Istana Lama Melaka, Gereja St. Paul, Muzium Kesenian Islam, A Famosa, Muzium Samudera, Kampung Morten, Muzium Baba dan Nyoya, Menara Taming Sari, River Cruise serta becanya yang ber'decorate indah' dan banyak lagi tempat menarik semuanya dalam "within the area" saja.
Jadi tidak hairanlah mengapa Melaka menerima jolokan sebagai bandaraya bersejarah dan apa yang penting pada pandangan sey...walaupun Melaka hanya sebuah negeri yang kecil, tapi apa yang dipertontonkan semuanya yang besar-besar belaka. Itulah yang membuatkan Melaka tampak hebat seperti kisah lagenda Hang Tuahnya.